Perkahwinan di antara rakyat Malaysia dan warga asing atau di antara dua
warga asing adalah boleh dan dibenarkan untuk dilakukan di Malaysia.
Bagi perkahwinan di antara rakyat Malaysia dan warganegara asing,
prosedur yang harus diikuti adalah berlainan daripada prosedur
perkahwinan di antara sesama rakyat Malaysia.
Selain syarat-syarat yang diperuntukkan seperti persetujuan wanita yang
akan dikahwini, pemberian mas kahwin dan lain-lain, syarat-syarat yang
diperuntukkan oleh pemerintah juga harus dipatuhi. (Perlu diingatkan
bahawa syarat-syarat ini adalah bertujuan untuk melindungi hak-hak
pasangan yang akan berkahwin). Prosedur yang berlainan ini juga
bergantung kepada situasi warga tersebut.
Secara amnya apabila warga asing dan rakyat Malaysia ingin berkahwin,
mereka wajib untuk memohon kebenaran berkahwin dari Jabatan Agama.
Borang permohonan perkahwinan haruslah disertakan dengan dokumen-dokumen
berikut :-
- Salinan pasport atau salinan kad pengenalan (lelaki dan perempuan)
- Surat kebenaran dari kedutaan/konsulat negara pemohon
- Surat pengesahan pasport daripada Jabatan Imigresen Malaysia
- Surat Akuan Cerai atau surat Akuan Kematian (jika pernah berkahwin atau kematian pasangan sebelumnya)
- Surat Kebenaran Poligami dari Mahkamah Syariah di Malaysia (jika berpoligami)
- Surat wakalah wali bagi perempuan (jika wali tidak dapat hadir)
- Salinan Sijil Kursus Perkahwinan
Borang permohonan dan dokumen-dokumen ini haruslah dikemukakan kepada
Penolong Pendaftar Nikah Kariah di mana wanita tersebut bermastautin.
Ini adalah untuk mendapatkan kelulusan bernikah dari Pendaftar Nikah.
Permohonan ini haruslah diserahkan dalam tempoh sebulan atau tidak
kurang dari tujuh hari sebelum tarikh perkahwinan yang dirancang.
Adalah baik sekiranya ia dilakukan dengan awal bagi mengelakkan
penundaan perkahwinan. Sekiranya bakal isteri adalah penduduk tetap
negara ini atau pemegang Kad Pengenalan Merah, dokumen yang lain harus
disertakan.
Pemohon juga mestilah mengemukakan salinan Kad Pengenalan Merah dan
permit masuk, Surat Pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara atau
pengesahan permit masuk dari Jabatan Imigresen. Kedua-dua situasi di
atas adalah bagi warga asing yang mempunyai pas masuk secara sosial atau
perniagaan.
Situasi adalah berbeza bagi warga asing yang dibenarkan masuk ke negara ini melalui permit pekerjaan.
Perlu dimaklumkan bahawa pekerja asing yang memegang permit kerja adalah
tidak dibenarkan memohon untuk berkahwin di negara ini. Sekiranya
perkahwinan ini berlangsung dengan tidak mematuhi undang-undang maka ia
akan memberi implikasi kepada permit kerja yang telah diberi kepadanya.
Hanya warganegara asing yang mempunyai kelayakan masuk secara sosial
atau perniagaan sahaja yang boleh membuat permohonan tersebut. Pindaan
Peraturan Imigresen yang tidak mendiskriminasi terhadap wanita Malaysia
yang berkahwin dengan rakyat asing mulai 1 September 2001:
Lelaki warganegara asing yang berkahwin dengan wanita Malaysia
dibenarkan memperbaharui pas lawatan sosial secara tahunan (annual
basis).
Wanita warganegara asing yang bercerai atau berpisah dari suami rakyat
Malaysia boleh memohon untuk mendapatkan pas lawatan sosial secara
tahunan (annual basis).
Pendaftaran Perkahwinan Dan Pengupacaraan Perkahwinan Di Luar Negara
Perkahwinan bagi rakyat Malaysia diluar negara boleh didaftarkan jika
salah seorang pasangan mestilah warganegara Malaysia. Pendaftaran
perkahwinan perlu dibuat dalam tempoh masa 6 bulan dari tarikh
perkahwinan. Alamat dan nombor telefon Pejabat Perwakilan Malaysia di
luar negara boleh didapati melalui laman web Kementerian Luar Negeri
dibawah topik “Perwakilan Malaysia Di Luar Negeri”.
Antara dokumen-dokumen sokongan yang perlu dibawa bersama adalah :
- Pasport untuk kedua-dua pasangan (asal dan salinan)
- Kad Pengenalan
- Surat Nikah
- Bukti Perkahwinan (spt. Gambar perkahwinan atau kad undangan, jika ada)
- Dua orang saksi yang menyaksikan perkahwinan tersebut.
- Pendaftaran akan diproses oleh Perwakilan Malaysia dan dua (2) salinan
Sijil Perkahwinan Malaysia (asal dan salinan) akan dikeluarkan kepada
pasangan berkenaan.
Bagi rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, pengupacaraan
perkahwinan boleh dilakukan oleh Pegawai Konsul yang telah dilantik oleh
Jabatan Pendaftaran Negara. Surat perakuan bujang/duda/janda (bagi
kedua-dua belah pihak) adalah diperlukan bagi tujuan tersebut.
Nota - Warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing harus
mendaftarkan status perkahwinan mereka dengan Jabatan Pendaftaran Negara
(JPN) setelah perkahwinan mereka selesai supaya anak mereka mendapat
status kewarganegaraan.
Sumber : Jabatan Imigresen Malaysia
No comments:
Post a Comment